Artikel Khas

Mari kuasai ekonomi Malaysia

Kita ada potensi tinggi hasilkan bahan-bahan mentah

DI CELAH keserabutan politik beberapa hari ini, kita teruskan kerja bangunkan apa yang kita boleh pada kadar kemampuan. Bertindak ke arah hasil yang positif lebih akan mengelokkan hal ehwal umat ini.

Ada masalah yang ditimbulkan oleh orang lain dan kita tak mampu buat apa-apa. Kita lihat dan fahami serta terangkan kepada masyarakat cara pandang yang betul.

Ada benda yang menjadi ruang kerja yang kita boleh hasilkan. Itu adalah tanggungjawab sebenar yang kita kena usahakan dengan sungguh-sungguh.

Tiap sesuatu itu akhirnya akan ada pertanggungjawabannya di hadapan Allah. Allah akan tanya kita sesuatu yang berlegar dalam ruang kewajipan atas diri kita. Kewajipan seseorang amat berkait dengan kudrat kemampuan yang Allah berikan kepadanya.

Semalam saya ke iSmart, kedai yang dibangunkan oleh ISMA pada bulan Mac yang lepas. Sekadar untuk bertanya khabar dan perkembangan. Ia adalah bidang baru untuk ISMA. Baru belajar untuk memahami tabiat alam peruncitan.

Dicetuskan idea penubuhannya oleh Tuan Haji Aminuddin Yahaya, mantan Presiden ISMA sesi sebelum ini yang sekarang memberi tumpuan pula kepada gabungan ngo-ngo Islam di bawah PEMBELA.

Umat Islam mempunyai kekuatannya yang tersendiri untuk membangunkan ekonomi umat.

1. Kita ada potensi yang tinggi dalam mengeluar dan menghasilkan bahan-bahan mentah. Perladangan, penternakan, penangkapan ikan dan perlombongan bukanlah bidang yang asing bagi umat Islam di negara ini untuk tempoh berkurun-kurun lamanya. Datuk nenek kita amat mahir dengan laut dan hutan, juga hidup di kelilingi pelbagai jenis binatang.

2. Kita juga ada kemampuan untuk mencipta produk-produk yang pelbagai dari bahan-bahan mentah tersebut. Orang Islam terbukti contohnya boleh mencipta pelbagai produk dari sebatang pokok kelapa; dari umbutnya, batangnya, isinya, airnya, sabutnya, tempurungnya hinggalah ke daun dan lidinya. Juga agak luar biasa bila sesetengahnya boleh memanfaatkan kulit lembu dan batang pisang untuk dijadikan pelbagai bentuk makanan.

3. Umat Islam juga adalah umat majoriti di negara ini. Sesama mereka sahaja mereka sudah boleh menjadi pengeluar, pencipta produk, penjual dan pembeli. Pusingan sesama umat Islam sahaja pun sudah cukup untuk mengaktifkan kitaran ekonomi tanpa perlu yang lain. Umat Islam adalah pengguna paling besar di negara kita.

Atas potensi yang ada tersebut, kita mencuba bidang ini. Sekurang-kurangnya untuk memahami tabiatnya dan membina jaringan dalam masa panjang. Ini adalah fardhu kifayah yang mesti dilakukan oleh sebahagian umat Islam.

Yang menjadi kesukaran dan cabaran sekarang adalah untuk menghidupkan semula jiwa peneroka dalam diri umat Islam. Jiwa ini penting supaya segala bahan mentah dapat dimanipulasi kembali oleh umat Islam.

Seterusnya untuk menghidupkan semula daya cipta umat Islam. Kita sudah agak lama hanya menjadi pengguna. Barang asas yang kita gunakan hari-hari seperti sabun pun dihasilkan oleh orang lain. Jika disusun betul, pembuatan kapal terbang pun bukanlah satu yang sukar untuk umat Islam negara kita ini.

Kemudian bagaimana untuk membina rantaian ekonomi yang baru dari pengeluar hingga ke pengguna. Rantaian yang sudah tentu akan ada pihak yang sabotaj dan gagalkan.

Isu ini besar dan susah. Potensi untuk gagal amat tinggi. Tetapi umat Islam mesti bermula dari sesuatu walaupun bertatih pada awalnya.

Saya membayangkan kalaulah nanti segala produk yang digunakan oleh umat Islam setiap hari adalah terhasil dari tangan umat Islam, sudah tentu ketika itu keadaan ekonomi umat Islam akan berubah dan daya ketahanan kita untuk bersaing dengan negara luar juga akan semakin tinggi.

Kuasa ekonomi boleh menguasai kuasa politik dan mencorakkan gaya hidup masyarakat. Jika kita faham bahawa Allah mahu kita berkuasa, kenapa kita tidak faham bahawa ekonomi tidak sepatutnya dikuasai oleh pihak lain?

Wallahul Mustaan

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button