Berita Utama

Patuh keputusan UMNO, Shamsul Anuar letak jawatan menteri

Tumpu tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong, bantu perkuatkan parti

BANGI, 24 Zulhijjah 1442H, Selasa – Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Beliau dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu dibuat sebagai mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian UMNO.

Sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti, Ahli Parlimen Lenggong itu memutuskan meletak jawatan sebagai ahli Jemaah Menteri kerajaan Persekutuan.

“Pertama saya merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana saya diberikan peluang berkhidmat sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan pastinya pimpinan UMNO yang mencadangkan saya sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak dan kepada semua warga Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Tumpuan saya selepas ini ialah memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar,” katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Ahli-Ahli Parlimen parti itu menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai, untuk menarik sokongan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Malah, dalam kenyataan pada 25 Julai lalu, Zahid meminta menteri, timbalan menteri dan Pengerusi GLC dari UMNO meletakkan jawatan selaras ketetapan parti pada 25 April 2021.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button