Berita Utama

Sudahlah ahli politik kerajaan langgar SOP, kini pembangkang juga sama

Ada yang mula guna hujah berhimpun sebahagian daripada hak asasi

BANGI, 24 Zulhijjah 1442H, Selasa – Perarakan yang dilakukan oleh ahli politik pembangkang semalam, hanya akan mencetuskan dampak yang negatif kepada persepsi masyarakat.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, sebelum ini rakyat sudah melihat ahli politik di pihak kerajaan bertindak melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kini rakyat disajikan pula dengan kelakuan yang sama daripada pihak pembangkang.

“Sudahlah ahli-ahli politik kerajaan tanpa segan silu melanggar SOP sesuka hati secara berkali-kali, kali ini ahli-ahli politik pembangkang pula melanggar SOP beramai-ramai dengan melakukan himpunan. Kata orang, cukuplah satu pakej. 

“Kita sudah lihat, bagaimana ahli-ahli politik melanggar SOP dengan membuat majlis-majlis tertutup secara curi-curi yang akhirnya ramai rakyat marhaen turut mengikutinya sehingga mencetuskan kluster-kluster baharu. 

“Lihatlah apa yang terjadi di Terengganu baru-baru ini. Saya yakin mereka akan berhujah, ‘menteri boleh, kenapa kami tak boleh?’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Melihat kepada tindakan ahli-ahli politik melakukan himpunan sebagaimana yang berlaku di Dataran Merdeka semalam, Aminuddin berkata, beliau yakin selepas ini akan lebih banyak siri-siri himpunan jalanan tercetus oleh rakyat marhaen tatkala keadaan wabak COVID-19 sedang menular ini. 

Malah, katanya, ada juga yang sudah mula menggunakan hujah hak untuk berhimpun sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia yang perlu dilindungi. 

“Sehingga ada yang menghantar petugas untuk memantau agar hak itu diberikan secara bebas. 

“Ingatlah, pemimpin adalah cerminan masyarakat; baik pemimpin kerajaan, pemimpin pembangkang, mahupun pemimpin NGO,” katanya.

Semalam, Ahli-ahli Parlimen daripada pihak pembangkang mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan jam 9.30 pagi tidak berjaya.

Semua ahli parlimen pembangkang daripada DAP, PKR, Amanah, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan, Parti Sarawak Bersatu dan Upko berkumpul untuk mendesak pengunduran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya.

Kumpulan itu bersurai secara aman pada jam 11 pagi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar membuat ucapan ringkas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button