Berita Utama

Adab peribadi pemimpin semakin luntur di Parlimen

Dipenuhi konflik, pergelutan dan hentam-menghentam dalam setiap perbahasan

BANGI, 25 Zulhijjah 1442H, Rabu – Amat mendukacitakan sidang Parlimen yang diharap membantu rakyat hanya membahang dengan pertikaman lidah dalam setiap perkara, termasuk berkaitan isu peribadi.

Walhal, masyarakat segenap peringkat mahu melihat bagaimana Ahli Parlimen dipilih melalui sistem demokrasi membawa hasrat rakyat dan mencari kesepakatan untuk membangunkan kembali kemelut dan kelesuan kehidupan rakyat.

Namun, ia tenggelam timbul dalam pertelingkahan ahli dewan, seolah-olah melepaskan emosi terpendam sekian lama.

Bagi Felo Bersekutu Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Sobhi Ishak dan Dr Mohd Faisal Mustaffa suasana ini meresahkan rakyat ketika kes harian COVID-19 terus memuncak.

Kedua-dua pihak itu berkata, masyarakat menyaksikan dewan Parlimen dipenuhi konflik, pergelutan dan hentam-menghentam dalam setiap perbahasan.

Bahkan, adab ditonjolkan seolah-olah hilangnya ikrar berkaitan kesopanan dan kesusilaan yang menjadi pegangan Rukun Negara dalam membentuk sebuah negara bangsa yang bermaruah dan berakhlak tinggi.

“Pendidikan bermesyuarat sebegini amat membimbangkan kerana masyarakat dididik dengan adat bermesyuarat yang beremosi berbanding meneliti pokok permasalahan sebenar.

“Di Parlimen, semakin hari adab keperibadian pemimpin semakin hilang dan luntur. Kita mahu anak-anak dididik adab keperibadian mulia. Namun, apa yang ditonjolkan di Parlimen mengecewakan semua.

“Sudah pasti pada peringkat tertinggi sebegini, mereka mampu sedar di mana mereka berada dan siapa sedang memerhatikan. Tidak cukup melempiaskan nafsu serakah politik masing-masing sehingga mencalarkan nilai kecerdikan dan keintelektualan masyarakat Malaysia di mata dunia,” katanya menulis di Berita Harian.

Selain itu, tegas mereka, persidangan Parlimen bukan hanya perlu menjadikan peraturan dewan sebagai asas perbahasan, tetapi mestilah berasakan kod etika, akhlak serta adab yang melambangkan bangsa bersopan santun.

“Jika dahulu, masyarakat hanya menerima maklumat bertapis kerana tiada liputan langsung dari dalam dewan. Kini dengan langit terbuka, mata masyarakat sendiri melihat tingkah laku ahli politik bermesyuarat.

“Adakah serang-menyerang, mencari salah dan kelemahan, mengherdik, menghina serta membuli itu kaedah mencari titik persetujuan dalam pembuatan dasar negara?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button