Berita Utama

COVID-19: 257 kematian tertinggi direkodkan setakat ini

Jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 9,855

KUALA LUMPUR, 25 Zulhijjah 1442H, Rabu – Malaysia mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi hari ini sejak penularan COVID-19 di negara ini dengan 257 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 9,855 kes atau 0.83 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata kes kematian itu melibatkan 226 warganegara manakala 31 lagi warga asing, dengan 236 daripadanya meninggal dunia di hospital dan 21 orang lagi di rumah (BID), sekali gus mengatasi angka kematian tertinggi sebelum ini yang dilaporkan pada 2 Ogos iaitu 219 kematian.

“Sebanyak 91 kes kematian berkenaan dilaporkan di Selangor, 74 kes di Kuala Lumpur, 25 di Johor, 24 di Melaka, masing-masing sembilan kes di Negeri Sembilan dan Perak, lapan di Kedah, enam di Sabah, empat kes di Terengganu, masing-masing tiga kes di Pulau Pinang dan Kelantan serta satu kes di Pahang,” katanya dalam kenyataan situasi semasa COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada 19,819 kes baharu hari ini, sebanyak 375 kes atau 1.9 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala selebihnya 19,444 kes atau 98.1 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button