Berita Utama

Dakwaan pesakit duduk atas lantai beralas kadbod tak benar: HTAR

Jika katil tidak cukup, pesakit diletak di kerusi atau kerusi roda buat sementara

SHAH ALAM, 25 Zulhijjah 1442H, Rabu – Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang menafikan dakwaan bahawa pesakit di hospital berkenaan terpaksa duduk di atas lantai beralaskan kadbod. 

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi dalam kenyataan menerusi Facebook HTAR berkata, setelah semakan dan siasatan dibuat, pihaknya mendapati tiada pesakit duduk di atas lantai atau kadbod di mana-mana kawasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

“Untuk makluman, sekiranya tiada katil yang mencukupi untuk menampung jumlah mereka, pesakit akan diletakkan di kerusi atau kerusi roda buat sementara waktu,” katanya.

Jelas Dr Zulkarnain, pesakit COVID-19 yang dipindahkan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma ke wad sementara bertempat di Kompleks Rawatan Harian (ACC) pula berada dalam keadaan selesa kerana dilengkapi penyaman udara. 

“Malah, jabatan berkenaan kini sedang menunggu pembukaan hospital lapangan di HTAR dijangka beroperasi dalam beberapa hari lagi bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 yang agak ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tangkap layar laporan sebuah portal berita dalam talian yang dikongsi seorang ahli politik tempatan di akaun Facebooknya yang mendakwa bekalan dan peralatan perubatan tidak mencukupi di HTAR.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button