Berita Utama

Enggan terima kenyataan PM, pembangkang bertegas tolak Muhyiddin

Mustahil masih punyai majoriti selepas sejumlah Ahli Parlimen tarik sokongan

KUALA LUMPUR, 25 Zulhijjah 1442H, Rabu – Walaupun sebentar tadi Perdana Menteri menegaskan, beliau telah menerima sejumlah surat akuan dari Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberi keyakinan kepadanya bahawa beliau mempunyai kepercayaan majoriti, parti pembangkang bagaimanapun sukar menerima kenyataan itu.

Dalam satu kenyataan bersama, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bersama Ahli Parlimen Tuaran, Simpang Renggam, Selangau dan Sri Aman menegaskan bahawa mereka tetap menolak kepimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin.

“Adalah mustahil Tan Sri Mahiaddin masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat selepas pengumuman penarikan balik sokongan sejumlah Ahli Parlimen kerajaan semalam.

“Kami juga kekal dengan pendirian bahawa Tan Sri Mahiaddin dan seluruh Jemaah Menteri mesti meletakkan jawatan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Turut sama adalah Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Baru Bian dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Masir Kujat dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Dr Maszlee Malik (Bebas).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button