Berita Utama

Pejabat peguam terdedah COVID-19, kes Zahid ditangguh hingga 24 Ogos

Pejabat terpaksa ditutup sementara waktu berikutan penularan COVID-19

KUALA LUMPUR, 25 Zulhijjah 1442H, Rabu – Perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi, yang dijadualkan esok di Mahkamah Tinggi di sini, ditangguh sehingga 24 Ogos selepas pejabat seorang daripada peguamnya terdedah dengan jangkitan COVID-19.

Peguam Hamidi Mohd Noh, yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu, ketika dihubungi Bernama memaklumkan penangguhan itu berikutan beberapa staf di pejabatnya disahkan positif COVID-19.

“Saya membuat permohonan itu kepada mahkamah pada 2 Ogos lepas kerana kesukaran untuk mengakses dokumen-dokumen perbicaraan yang kini berada di pejabat. Mahkamah telah benarkan penangguhan itu.

“Pejabat terpaksa ditutup sementara waktu berikutan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan staf di firma saya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, yang mengetuai pasukan pendakwaan, mengesahkan penangguhan itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah sebelum ini menetapkan enam hari mulai esok untuk mendengar hujah kedua-dua pihak setelah pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac selepas memanggil 99 saksi.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button