Berita Utama

Pembangkang usah bising lagi isu kerusi, tumpu usul berkaitan COVID-19

Ada kemungkinan besar Pejuang sertai Perikatan Nasional: Penganalisis

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 25 Zulhijjah 1442H, Rabu – Penegasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan berikutan itu isu peletakan jawatannya tidak berbangkit perlu diterima oleh semua pihak terutama pihak pembangkang.

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas menyatakan telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau menerima sejumlah surat akuan dari Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

Muhyiddin berkata, beliau sedar kedudukannya sebagai Perdana Menteri sering kali dipersoalkan. 

Sehubungan itu, Agong telah berkenan untuk Muhyiddin menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.

Mengulas perkara itu, penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussein meminta supaya pembangkang tidak membangkitkan lagi isu peletakan jawatan Perdana Menteri sehingga Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.

Tegasnya, apa yang perlu dilakukan oleh pembangkang ketika ini sebagai pihak yang rasional adalah memfokuskan ke arah pemulihan negara dan bukan bertelagah soal jumlah kerusi.

“Apa yang disyorkan Muhyiddin kepada Agong bagi menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri, melalui suatu usul undi percaya kepadanya telah diperkenakan oleh Agong. Itu adalah caranya, saya harap pembangkang tiada bising lagi mengenai usul tidak percaya sekarang ini. 

“Pentingkan usul berkaitan COVID-19, lebih baik fokus pada itu. Diminta juga supaya pembangkang tumpu usul bagi membahas dan mengungkai Ordinan-Ordinan Darurat pada sidang Parlimen tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau menegaskan, jika terbukti Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti pada sidang Dewan Rakyat akan datang, maka pembangkang perlu menerimanya dan saling berganding bahu untuk membantu membangunkan negara. 

Sebarang perbalahan mengenai kuasa, katanya, tidak wajar dilakukan ketika ini, bahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seeloknya diadakan hanya selepas pandemik COVID-19 selesai dan mereda.

Sementara itu, mengulas mengenai sokongan terhadap Muhyiddin, Prof Atory menjangkakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad akan banyak membantu Muhyiddin. 

“Saya berpendapat cadangan supaya Dr Mahathir menjadi pengerusi kepada Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) juga amat baik.

“Adalah elok sekiranya Muhyiddin mempertimbangkan untuk peranan itu kepada Dr Mahathir, maka akan nampak kerjasama antara dua pihak.

“Jikalau Muhyiddin luluskan, ia dapat mewujudkan perpaduan antara Pejuang dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bekerjasama seperti sedia kala,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, antara perkara utama yang perlu diingat adalah kini di dalam UMNO terdapat dua kelompok iaitu yang menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

Beliau percaya bahawa wakil dari UMNO yang mengikuti Ahmad Zahid adalah lebih 10 kerusi sahaja, manakala wakil UMNO-BN yang mengikuti PN diketuai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dianggarkan sekitar 30 kerusi.

“Jadi pada pandangan saya, Tun M besar kemungkinan akan menyertai Perikatan Nasional. Sebab apa, sebab kluster mahkamah dah tidak ada dalam UMNO yang mengikuti PN.

“Yang menyebabkan bergaduh kelam kabut sebab ada Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak. Sekarang ini, ‘UMNO Zahid’ sudah keluar dari PN. Bermakna mereka sudah jadi pembangkang, taraf mereka sama seperti Pakatan Harapan. Dan dia tak boleh lagi nak mengada-ngada patah balik,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button