Berita Utama

MCA dakwa DAP tak iktiraf UEC kerana jaga hati Melayu?

MCA, DAP saling tuding jari, salahkan antara satu sama lain

BANGI, 5 Rabiulawal 1442H, Khamis – Parti berasaskan kaum, MCA mendakwa DAP tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana mahu menjaga hati orang Melayu.

Dakwaan terbaharu itu dibuat MCA dalam usaha menyalahkan DAP kerana gagal menunaikan janji manifestonya untuk mengiktiraf UEC ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Selain itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng menyifatkan, tindakan bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang mempersoalkan mengenai isu itu demi modal politiknya sebagai memalukan.

“Kesudahannya dari sebulan selepas mereka berkuasa sehinggalah ke akhir tahun 2018 mereka memberi alasan jaga hati orang Melayu, seterusnya selepas 22 bulan mereka memerintah hinggalah ke hari ini UEC masih belum diiktiraf.

“Teo Nie Ching dan DAP tidak layak mempersoalkan perkembangan pengiktirafan UEC kerana dalam tempoh 22 bulan PH berkuasa, enam orang menteri Kabinet DAP gagal mengiktirafnya (UEC).

“… sehinggalah hari ini apabilah PH tidak lagi berkuasa, ia masih tertangguh, jadi sangat menyedihkan apabila mereka berani menyoal kerajaan pimpinan PN mengenai perkara itu,” katanya seperti dilaporkan laman web MCA, semalam.

Teik Cheng berkata, tindakan Nie Ching mengungkit isu UEC ketika ini, hanyalah untuk mendapatkan perhatian dan mengingatkan rakyat terhadap kegagalan DAP menunaikan janji manifesto mereka demi menjaga perasaan orang Melayu.

Katanya, Nie Ching sebelum ini berjanji secara hitam putih bahawa PH akan mengiktiraf UEC sebaik PH memerintah, dan melaksanakan apa yang tidak dibuat Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Semua orang masih ingat ketika bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meletak jawatan dan dikelilingi para wartawan, Teo Nie Ching menyorok di belakang tidak berani berdepan dengan wartawan.

“Ketika ditanya oleh wartawan bila UEC akan diiktiraf, Teo Nie Ching berdolak-dalih sesuatu yang kekal dalam ingatan rakyat, oleh itu Nie Ching dan DAP paling tidak layak membincangkan isu UEC dan ia akan tinggal kesan kepada DAP selama-lamanya,” katanya.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button