Berita UtamaIstimewa

Demi politik Islam, parti-parti Melayu perlu sepakat, jangan beri ruang kepada DAP

Betulkan kesilapan, ketepikan pemimpin lama terpalit kes di mahkamah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 26 Zulhijjah 1442H, Khamis – Pergolakan politik yang berlaku ketika ini dibimbangi akan berakhir dengan format yang tidak memberi kebaikan kepada umat Islam serta negara.

Dengan keadaan masing-masing parti tidak mempunyai majoriti di Parlimen, ditambah dengan potensi Ahli Parlimen melompat parti dan berpecah dari parti asal, bentuk pakatan yang akan membentuk kerajaan adalah suatu yang tidak boleh dijangka.

Biarpun begitu, kuasa politik Melayu Islam mungkin dapat diselamatkan sekiranya UMNO dan PAS menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai dua tahun lalu.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, dalam keadaan sekarang, UMNO berhadapan pilihan yang sukar begitu juga dengan PAS.

“Tetapi kalau kedua-dua parti Melayu Islam terbesar ini sanggup untuk membetulkan kesilapan dengan menghidupkan semula MN, mengetepikan pemimpin lama yang belum selesai kes-kes mereka di mahkamah.

“…mengalukan gabungan dari parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan Melayu dan menaikkan muka baru dari gabungan yang lebih luas ini, ia mungkin akan lebih menyelamatkan kuasa politik Melayu Islam,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas berkenaan kemelut politik negara, Ustaz Fauzi berkata, dalam keadaan beberapa ahli politik Melayu Islam yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, suatu yang perlu diperhatikan juga adalah perancangan DAP dan sekutunya untuk mengukuhkan pengaruh serta kuasa mereka dalam politik negara.

Atas sebab itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada tawaran daripada sebahagian Ahli Parlimen DAP dan sekutunya untuk duduk di mana-mana blok calon-calon Perdana Menteri termasuk blok Perikatan Nasional (PN) jika itu jalan mereka berkuasa dari belakang.

“Jika ini tidak dikawal maka kerajaan yang akan memerintah sama ada kekal pada tangan PN atau pakatan lain hanya akan membawa agenda yang bercampur baur dengan agenda DAP,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button