Berita Utama

Malaysia kekal terajui indikator ekonomi Islam global bagi tahun ke-7

Dipacu oleh ekosistem ekonomi halal yang pesat membangun

KUALA LUMPUR, 26 Zulhijjah 1442H, Khamis – Malaysia terus menerajui Indikator Ekonomi Islam Global (GIEI) bagi tahun ketujuh berturut-turut, dipacu oleh ekosistem ekonomi halal yang pesat susulan negara memberi pengaruh yang besar dalam sektor kewangan Islam dan makanan halal.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Datuk Mahmud Abbas berkata Malaysia mengesahkan kedudukannya sebagai hab halal global terkemuka pada 2020 dengan merekodkan nilai eksport tahunan RM31 bilion bagi produk halal dan pada masa sama menarik pelaburan bernilai RM0.6 bilion kepada Taman Halal Malaysia.

“Setakat ini, sebanyak 28,000 pekerjaan telah diwujudkan menerusi usaha ini.

“Malaysia mempunyai 6,727 syarikat yang mempunyai persijilan halal, dan daripada jumlah itu 1,507 adalah pengeksport dan lebih 1,300 merupakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Forum Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)-HDC 2021 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Melalui Pasaran Modal Islam’ yang diadakan secara maya pada Khamis.

Beliau berkata Malaysia juga mempunyai 1.3 juta perniagaan, dan daripada jumlah itu 90 peratus dikategorikan sebagai PKS, termasuk 200,000 yang menjalankan perniagaan berkaitan halal.

Sememangnya terdapat potensi yang amat besar untuk industri halal ini berkembang lebih jauh, katanya.

“Pasaran Asia Timur Laut seperti Jepun, China dan Korea Selatan juga telah menyertai industri ini dan membuka pasaran mereka untuk modal Islam dan pelancongan mesra Muslim,” katanya.

Mahmud berkata sekatan pergerakan di seluruh dunia telah menimbulkan persoalan mengenai keperluan sara diri produk penting tertentu yang meliputi farmaseutikal, peralatan perubatan dan makanan.

Beliau berkata bagi industri makanan halal sahaja, ia bernilai US$1.6 trilion, manakala industri kosmetik dan farmaseutikal halal masing-masing bernilai US$39 bilion dan US$97 bilion.

Menjelang 2030, sektor makanan dan minuman halal global diunjurkan bernilai US$2.1 trilion.

“Justeru, wujud peluang dalam industri halal ini yang bukan hanya dari segi perniagaan malah lebih penting kemampuan untuk memenuhi kecukupan negara,” katanya.

Forum SC-HDC 2021 selama dua hari itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pengumpulan dana berasaskan pasaran patuh syariah bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), terutama yang tergolong dalam ekonomi halal.

Pada acara itu, SC turut memperkenalkan inisiatif terbarunya, Kit Panduan Penilaian Penyaringan Syariah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Tidak Tersenarai, dalam usahanya menambah baik ekosistem bagi aktiviti pengumpulan dana patuh syariah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button