Berita Utama

PAS dukacita tindakan Zahid arah MP UMNO tarik diri dari PN

Sifatkan langkah tak selari dengan semangat penyatuan ummah

BANGI, 26 Zulhijjah 1442H, Khamis – PAS hari ini meluahkan rasa dukacita dengan langkah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertindak mengarahkan Ahli Parlimen parti itu menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung akan menggugat perancangan Pelan Pemulihan Negara dan usaha menangani penularan wabak COVID-19 serta membantu rakyat yang terjejas teruk.

“Bagaimanapun, PAS kekal yakin dengan asas penubuhan Muafakat Nasional yang bermatlamatkan kesatuan ummah serta membina kekuatan politik Melayu Islam perlu terus dipertahankan demi kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kemelut politik negara hari ini kembali ‘panas’ selepas UMNO mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Bukan hanya berdepan desakan pembangkang, PN juga menerima tekanan daripada sebahagian pemimpin UMNO yang mendakwa Muhyiddin kini sudah hilang sokongan majoriti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button