Berita Utama

Pesakit masuk hospital di Lembah Klang meningkat lebih 33 peratus

Selari dengan jumlah kes jangkitan di Selangor, KL dan Putrajaya

BANGI, 26 Zulhijjah 1442H, Khamis – Bilangan kemasukan pesakit baru ke hospital di Lembah Klang meningkat lebih 33 peratus berbanding tempoh dua minggu lalu, menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, jumlah itu selaras dengan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Terdapat 6,427 pesakit berada dalam hospital, 2,685 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan 659 lagi di unit rawatan rapi (ICU).

“Lebih 1,000 pesakit dimasukkan ke hospital setiap hari. Dashboard CPRC Hospital System juga menunjukkan bilangan pesakit yang menunggu bagi mendapatkan rawatan di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah tinggi.

“Beberapa langkah telah dilakukan di bawah seliaan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley termasuk mewujudkan katil tambahan.

“Ia termasuk hospital medan di luar kawasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta mewujudkan katil-katil tambahan di hospital seperti Hospital Selayang dan Hospital Serdang,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa PKRC Maeps juga dipertingkatkan kapasitinya bagi memberi rawatan kepada pesakit yang memerlukan rawatan oksigen.

Beliau berkata, beberapa hospital juga telah berfungsi sebagai hospital COVID-19 sepenuhnya, iaitu Hospital Sungai Buloh; Hospital Selayang; Hospital Ampang; Hospital Serdang dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kapasiti katil hospital tambahan yang telah dapat dipertingkatkan untuk tempoh dua minggu lepas adalah 2,884 di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan jumlah ini akan meningkat melalui langkah yang sedang dilaksanakan.

“Kadar vaksinasi di Lembah Klang akan terus dipercepatkan bagi mengurangkan pesakit yang dijangkiti dengan gejala yang serius,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button