Dunia

Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalanan sempena ulang tahun letupan Beirut

Tuntut pemerintah bertanggungjawab atas insiden korbankan lebih 200 nyawa

BEIRUT, 26 Zulhijjah 1442H, Khamis – Penunjuk perasaan dilaporkan bertempur dengan pasukan keselamatan Lubnan pada Rabu, dalam demontrasi besar-besaran yang diadakan di Beirut sempena ulang tahun pertama tragedi letupan di pelabuhan pada Ogos 2020. 

Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalanan di Beirut untuk menuntut pihah berwajib bertanggungjawab atas insiden yang mengorbankan lebih 200 nyawa, mencederakan sekitar 6,000 yang lain dan menyebabkan 300,000 orang hilang tempat tinggal. 

Penunjuk perasaan yang membawa bendera Lubnan berarak ke dataran utama di tengah bandar Beirut, sambil melaungkan penentangan terhadap pemerintah.

Keadaan itu menyebabkan pihak keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan, dan berlaku pertembungan dengan insiden melempar batu sebagai tindak balas. 

Sekurang-kurangnya 21 orang cedera dan enam daripadanya terpaksa dirawat di hospital, menurut pasukan Palang Merah. 

Kemarahan tercetus di Lubnan ekoran kegagalan pemerintah mengesan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab atas kejadian pada 4 Ogos itu, dipercayai berpunca daripada 2,700 tan amonium nitrat yang disimpan dalam sebuah gudang di pelabuhan. 

Situasi menjadi lebih buruk lagi kerana negara didorong oleh krisis ekonomi dan politik yang menjadi kekecewaan rakyat sejak setahun lalu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button