Berita Utama

Sultan Selangor titah segerakan perbicaraan kes-kes rasuah

Supaya pelaku yang dihadap ke mahkamah tak terlepas dengan mudah

SHAH ALAM, 26 Zulhijjah 1442H, Khamis – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah  menyeru agar perbicaraan kes-kes rasuah disegerakan dan mahkamah tidak melayani penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh kerana rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan yang berlarutan terlalu lama.

Menurut hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin turut menyasarkan agar gejala rasuah di Selangor dapat dibanteras sepenuhnya supaya tidak menjadi masalah yang lebih besar dan boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat.

Titah itu dibuat kerana kebimbangan baginda berhubung peningkatan yang tinggi membabitkan kes-kes rasuah khususnya di Selangor selepas berkenan menerima menghadap dan mendengar taklimat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.

“Baginda menzahirkan kebimbangan dengan perkembangan terbaharu ini dan berharap agar SPRM dapat melakukan siasatan yang telus dan teliti, supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah,” menurut kenyataan itu.

Turut berangkat pada pertemuan selama dua jam itu ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button