Berita Utama

Syed Saddiq didakwa atas 2 pertuduhan pengubahan wang haram RM100,000

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengaku tidak bersalah

JOHOR BAHRU, 26 Zulhijjah 1442H, Khamis – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000, tiga tahun lepas.

Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Syed Saddiq didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button