Dunia

WHO gesa beku beri dos ke-3 vaksin COVID-19 hingga September

Tunggu sehingga sekurang-kurangnya 10 peratus populasi global divaksinasi

GENEVA, 26 Zulhijjah 1442H, Khamis – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa membekukan pemberian dos tambahan terhadap COVID-19 sehingga akhir September untuk membolehkan sekurang-kurangnya 10 peratus populasi global mendapat vaksin. 

“WHO meminta moratorium terhadap dos tambahan sehingga sekurang-kurangnya akhir September, untuk membolehkan 10 peratus daripada penduduk setiap negara  divaksinasi. 

“Untuk melaksanakannya, kita perlukan kerjasama semua pihak terutama sebahagian negara dan syarikat-syarikat yang mengawal bekalan vaksin global,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus. 

Gesaan itu dibuat WHO setelah Israel minggu lalu mula memberikan dos ketiga vaksin COVID-19 kepada individu berusia 60 tahun ke atas yang lengkap divaksinasi sekurang-kurangnya dalam tempoh lima bulan, termasuk beberapa negara lain yang juga mempertimbangkan perkara sama bagi melindungi golongan rentan. 

Turki juga antara negara yang menawarkan dos tambahan untuk individu berusia 50 tahun ke atas.

Tedros berkata, sehingga kini lebih daripada empat bilion dos vaksin telah diberikan secara global. 

“Lebih 80 peratus ini adalah daripada negara berpendapatan tinggi dan pertengahan atas, walaupun mereka menyumbang kurang dari separuh populasi dunia,” kata Tedros. 

Katanya, dia memahami langkah pemberian dos tambahan itu adalah atas keprihatinan pemerintah untuk melindungi rakyat mereka daripada varian berbahaya Delta, yang kini dikesan di sekurang-kurangnya 132 negara.

“Namun, kita tidak dapat menerima negara-negara yang telah menggunakan sebahagian besar persediaan vaksin global, sedangkan ramai lagi golongan paling rentan masih belum dilindungi,” kata Tedros. 

WHO berkata, kurang daripada dua peratus daripada semua dos telah diberikan di Afrika, sedangkan kematian meningkat 80 peratus dalam tempoh empaT minggu di benua itu. 

Tedros berkata, hanya 1.5 peratus penduduk Afrika telah diberi vaksin sepenuhnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button