Berita Utama

Akur keputusan parti, giliran Noraini letak jawatan menteri

Berterima kasih kepada PM beri peluang berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi

BANGI, 27 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, tindakan itu diambil kerana akur dengan keputusan parti.

“Pertamanya, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai Menteri Pengajian Tinggi di dalam Kerajaan Persekutuan.

“Namun, berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021, saya sebagai Ketua Wanita UMNO, akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Noraini percaya, pihaknya telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia. 

“Usaha ini akan saya teruskan walaupun tidak lagi menjadi Menteri Kabinet Persekutuan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan kementerian yang banyak membantu saya melaksanakan tugas.

“Semoga Allah merahmati negara kita dan melindungi kita semua,” katanya.

Peletakan jawatan Noraini menyaksikan beliau menjadi menteri kedua daripada UMNO berbuat demikian selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button