Berita Utama

Desak PM campuri urusan mahkamah cemar institusi kehakiman

Ia adalah cubaan selewengkan PM untuk salah guna kuasanya

BANGI, 27 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Sekiranya pendedahan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung desakan pihak tertentu supaya beliau campur tangan dalam urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah benar, maka jelas ia kesalahan amat ketara.

Sebelum ini, Perdana Menteri mendedahkan ada pihak yang kurang senang dengan ketegasannya untuk tidak melayan beberapa tuntutan termasuk desakan mencampuri urusan mahkamah.

Beliau dalam perutusan khas pada Rabu berkata, disebabkan itu, ada pihak-pihak tertentu sengaja mencetuskan kemelut yang cuba menangguk di air yang keruh.

Mengulas perkara itu, pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof menyifatkan ia adalah satu cubaan untuk mendesak Perdana Menteri menyalahgunakan kuasanya.

“Tentunya cagaran yang diberikan ialah sokongan dari sudut politik. Ia bukan sekadar satu bentuk kesalahan berbentuk rasuah, bahkan satu bentuk ugutan agar pemimpin negara melakukan penyelewengan melalui campur tangan ke atas institusi kehakiman.

“Diharapkan ada tindakan yang sewajarnya atas perlakuan sebegini. Kita tidak mahu soal kebebasan kehakiman menjadi mainan mereka yang berada di tampuk kuasa atau bakal mengambil alih kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau menggesa semua pihak berhenti mencalarkan imej kebebasan kehakiman.

“Kita berharap Perdana Menteri istiqamah dengan sikap tegasnya dalam prinsip mempertahankan kebebasan mahkamah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button