Berita Utama

Fokus agenda rakyat, bukan sibuk gimik politik ‘tali leher’

Tunggu 100 hari, nilai dan kritik kerajaan secara profesional

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Jamadilawal 1444H, Khamis – Belum pun genap sebulan kerajaan campuran diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memerintah, rakyat mulai ‘meluat’ apabila isu remeh seperti imej jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet lebih diberi perhatian.

Meskipun prestasi kerajaan belum boleh dinilai, rakyat sebenarnya ternanti-nanti agenda ‘power’ untuk memulihkan semula ekonomi dan menangani isu kos sara hidup.

Malangnya, gerak kerja menteri tenggelam dengan gimik politik apabila isu seperti pemakaian tali leher, capal dan penggunaan perkataan cerakin menjadi tajuk utama di media.

Rata-rata pengguna media sosial mula meluat kerana bagi mereka, pengumuman kerajaan berkaitan masalah bekalan telur dan kenaikan harga barangan patut diutamakan.

“Tali leher bukanlah isu yang rakyat nak tahu, rakyat nak tahu apa yang kerajaan PH akan lakukan dan berikan kepada mereka, masalah harga barangan dan bekalan telur perlulah diselesaikan bukan menuding jari mencari kesalahan orang lain dan mencari mangsa-mangsa politik,” kata Norzlan Yusoff.

“Isu remeh juga diketengahkan. Bincang la isu dasar, lebihkan perbincangan apa tindakan kerajaan nak bantu rakyat kurangkan kos sara hidup,” kata Sue Yusof.

“Rupanya ini formulanya, tak pakai tali leher boleh buat ekonomi meningkat maju. Aku baru tahu,” sindir Aizuandy Shamsuddin.

Sementara itu, pemerhati politik, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim turut senada menyifatkan isu berkaitan imej Perdana Menteri dan jemaah menteri sebagai bukan isu besar untuk diberikan perhatian.

Sebaliknya tegas beliau, perkara asas pembangunan negara dan kedaulatan tanah air adalah lebih utama untuk diberikan tumpuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Pentadbiran PM baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberikan fokus kepada membina kembali struktur asas ekonomi negara yang mapan selepas pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi dunia selain isu integriti nasional yang semakin meruncing.

“Pun begitu masih terlalu awal untuk menilai prestasi beliau dan Kabinet yang baharu sahaja dilantik, namun selepas 100 hari nanti kita nilai dan kritiklah secara profesional,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Namun, Muhammad Lukman tidak menafikan isu pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah tindakan paling mengecewakan bagi kerajaan baharu itu.

“Bagi saya ia satu kesilapan besar yang mungkin boleh menyebabkan Kabinet beliau (Anwar) tumbang.

“Beliau tidak seharusnya mengulangi kesilapan sama bagi pelantikan Timbalan Menteri yang bakal diumumkan nanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button