Berita Utama

Sektor kilang penyumbang utama peningkatan kes di Selangor

Tiada satu pun kes berpunca dari sambutan Aidiladha, bukti rakyat Selangor patuh SOP

PUTRAJAYA, 27 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Lebih 50 peratus daripada kluster jangkitan COVID-19 di Selangor berpunca dari sektor ekonomi terutamanya kilang, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Dalam pembentangan di sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, Dr Sha’ari menyatakan bahawa 54 peratus kluster aktif di negeri ini dari 1 hingga 31 Julai berasal dari sektor pembuatan, diikuti oleh sektor perkhidmatan (12 peratus), tapak pembinaan (10 peratus) dan perniagaan (tujuh peratus).

Dr Shaari juga mengatakan lima peratus daripada kluster jangkitan di dalam negeri ini pada bulan Julai adalah jangkitan di kalangan komuniti, tetapi tidak ada yang berkaitan dengan perayaan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

“Kita juga cuba melihat adalah trend punca peningkatan jangkitan adalah disebabkan Hari Raya Aidiladha di Selangor tetapi kita dapati tiada satu kluster pun yang dikaitkan dengan sambutan hari raya.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat yang berada di negeri Selangor amat akur dengan prosedur standard operasi (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPB),” kata Dr Shaari.

Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kes di Selangor ialah saringan diri secara aktif oleh orang ramai, katanya.

“Terdapat tahap kesedaran yang tinggi di kalangan masyarakat Selangor untuk cepat menjalani ujian COVID-19.  Lebih daripada 85 peratus pemeriksaan dilakukan di kemudahan kesihatan swasta.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kemudahan swasta ini kerana telah membantu dalam khidmat saringan COVID-19 dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button