Pendapat

Tafsir semula undang-undang sedia ada untuk memenangkan kehendak syarak

Ubah jika terbukti bertentang dengan kehendak syarak

TAK sempat nak menulis panjang walaupun rasa nak menulis tentang isu tiga adik-beradik muslim yang sekarang diputuskan untuk duduk di bawah jagaan ibu mereka yang non muslim dan ‘kemenangan’ Sister In Islam mencabar keabsahan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor).

Malaysia seperti yang kita maklumi sememangnya negara yang bercampur baur undang-undangnya. Nak mengharapkan Islam dibela dengan undang-undang sepenuhnya, dengan keadaan sekarang adalah mustahil.

Apa yang penting adalah pihak berwajib perlu tahu apa kehendak syarak terhadap apa juga isu yang melanda negara. Dari situ berjuanglah sebaik mungkin menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada.

Berhujahlah dengan kecerdikan agar kehendak syarak itulah yang akan menang. Tafsirlah semula undang-undang sedia ada untuk memenangkan kehendak syarak. Ubahlah undang-undang jika terbukti ianya bertentangan dengan kehendak syarak.

Seperti isu penjagaan anak, bila syarak mengatakan:

الولد يتبع خير الوالدين دينا
“Anak perlu mengikut agama yang terbaik di antara kedua ibu bapanya.”

Maka tafsirlah undang-undang agar selari dengan kehendak syarak tersebut. Tidak perlu untuk mengukuhkan hak ibu menjaga anak dengan membacakan peruntukan undang-undang itu selepas kita seolah sampai ke peringkat yakin bahawa tujuan ibu tersebut, yang telah meninggalkan anaknya selama tiga tahun bukan untuk menjaga anak tetapi lebih kepada hasutan pihak lain kepadanya agar anak tersebut dikeluarkan dari Islam.

Jika terpaksa ikut undang-undang itu juga selepas keputusan mahkamah, buatlah sesuatu agar agama anak-anak itu tetap Islam. Bahkan kita ada pilihan untuk mempertegaskan undang-undang negeri Perlis jika sekiranya kita mahu.

Jangan jadi macam Suhakam yang bersungguh tegas dalam mengembalikan anak-anak Islam tersebut kepada ibunya yang tidak Islam, tetapi tidak sepatah menyebut berkenaan hak anak-anak tersebut untuk kekal di dalam Islam.

Jangan juga jadi seperti beberapa NGO Islam yang menekankan sudut hak penjagaan ibu terhadap anak, tetapi tidak mempunyai cadangan agar anak tersebut dipastikan kekal Islam.

Jangan juga ikut langkah Sister In Islam yang secara bersungguh mahu merendahkan bidang kuasa institusi Islam di negara ini.

Suka saya ingatkan semua orang Islam terutamanya pihak berwajib dan badan-badan Islam. Ingatlah firman Allah:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَنْعَمْتَ عَلَيَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيرًا لِّلْمُجْرِمِينَ

“Ia merayu lagi: “Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah / zalim”. (Al-Qasas: 17)

Moga anak-anak tersebut kekal di dalam Islam hingga ke akhir hayatnya.

Wallahul Musta’an

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button