Berita Utama

Sistem politik berdasar angka sudah serlahkan kepincangan

Dakwaan dapat sokongan majoriti masih belum dibuktikan

BANGI, 27 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Rakyat bukan sahaja bimbang mengenai kes harian COVID-19 yang telah melepasi angka 20,000, bahkan khuatir dengan dakwaan angka ahli politik untuk membentuk majoriti di Parlimen.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, dakwaan itu sehingga hari ini masih lagi belum didedahkan dengan bukti yang meyakinkan.

Dakwanya, permainan angka ini juga amat merisaukan kerana segala tenaga dan fikiran lebih banyak ditumpukan kepada mendapat angka berbanding kesejahteraan rakyat.

“Apa kesudahannya dengan negara kita berdasarkan angka-angka ini? Marilah kita mencari jalan supaya angka-angka ini tidak lagi merisaukan kita.

“Sistem politik kenegaraan yang berdasarkan angka ini sudah menyerlahkan kepincangannya. Mungkin ia sesuai di negara lain tetapi tidak dalam negara kita,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook beliau, hari ini.

Serentak itu, Zainul yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) menggesa kerajaan mengambil pendekatan baharu demi kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin ada jalannya yang dibenarkan di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi membetulkan keadaan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button