Berita Utama

Imad Ali mangsa ke-7 ditembak mati Israel dalam protes di Beita

Wartawan ditembak di lutut, 17 lain sesak nafas akibat gas pemedih mata

TEBING BARAT, 28 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Seorang lelaki Palestin terbunuh dalam serangan tembakan Israel di kampung Beita, utara Tebing Barat yang diduduki, semasa tunjuk perasaan menentang penubuhan sebuah penempatan haram, yang Israel ubah menjadi pangkalan tentera bulan lalu.

Imad Ali Dweikat, 37, terbunuh pada petang Jumaat, sementara dua yang lain cedera dan beberapa menderita sesak nafas disebabkan oleh gas pemedih mata, lapor agensi berita Palestin Wafa.

Imad Ali adalah warga Palestin ketujuh yang ditembak mati oleh rejim pengganas Israel di Beita, sebuah perkampungan di selatan bandar Nablus.  

Wafa mengatakan bahawa Imad Ali ditembak oleh peluru hidup di dada dan dibawa ke Hospital Rafidia, di mana dia disahkan meninggal dunia.

Ketua A&E dan Ambulans di Bulan Sabit Merah Palestin, Ahmed Jibreel memberitahu, dua warga Palestin lain cedera di Beita, satu daripadanya akibat terkena peluru hidup di kaki.  

Pada masa sama, wartawan Naseem Maala ditembak di lutut dengan peluru bersalut getah, sementara 17 orang mengalami sesak nafas akibat gas pemedih mata.

Pada bulan Mei, penduduk Beita mulai melakukan protes hampir setiap hari terhadap pembinaan penempatan haram, mendesak Israel untuk merobohkannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button