Berita Utama

Inisiatif vaksinasi ‘walk-in’ diperluas ke seluruh negara

Khusus untuk warga emas, OKU dan individu komorbid berusia 18 tahun ke atas

BANGI, 28 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) memperluaskan inisiatif vaksinasi ‘walk-in’ ke Pusat-Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di seluruh Malaysia untuk kumpulan tertentu dalam masa terdekat.

Ini bagi memastikan usaha vaksinasi terus dipertingkat di seluruh negara setelah ia dilaksanakan di Lembah Klang.

CITF dalam satu kenyataan berkata, beberapa negeri seperti Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Sarawak telah memulakan inisiatif ‘walk-in’ kepada warga emas, termasuk Kelantan yang membuka secara pra-tempahan.

Katanya, vaksinasi secara ‘walk-in’ dikhususkan untuk kumpulan tersenarai iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU), individu dengan komorbid berusia 18 tahun ke atas, individu terlepas dos kedua serta guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan di institusi pendidikan KPM.

“Perincian pelaksanaan vaksinasi secara ‘walk-in’ akan dimaklumkan oleh CITF negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing.

“Ini termasuklah penjadualan vaksinasi dan kuota harian vaksinasi secara ‘walk-in’ di PPV bagi setiap negeri,” katanya, hari ini.

CITF berkata, bagi penduduk Lembah Klang yang tidak tergolong dalam mana-mana kategori berkenaan, tetapi ingin ‘walk-in’ untuk dos pertama kerana tiada janji temu, boleh pergi ke mana-mana PPV yang telah disenaraikan sebelum ini.

“Walk-in ke PPV yang telah disenaraikan sebelum ini juga kini dibenarkan mengikut waktu operasi PPV masing-masing dan tidak lagi bermula hanya jam 2 petang.

“Sementara itu, seperti yang telah dimaklumkan, wanita hamil tidak digalakkan untuk walk-in sebaliknya akan diberikan janji temu melalui MySejahtera mengikut jangkaan tarikh bersalin ke PPV yang bersesuaian,” katanya.

CITF turut memaklumkan bahawa jumlah ‘walk-in’ harian adalah bergantung kepada kapasiti bekalan vaksin di PPV.

“Mereka yang tidak berpeluang mendapat vaksinasi pada hari tersebut, ekoran kehabisan bekalan vaksin di PPV, nama mereka akan disenaraikan sebagai keutamaan untuk mendapatkan vaksinasi pada keesokan harinya.

“CITF juga memohon agar orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memberi kerjasama kepada petugas di PPV ketika hadir untuk mendapatkan vaksinasi secara walk-in bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 dan memastikan kelancaran proses vaksinai dan keselamatan di PPV,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button