Berita Utama

Isu tempoh pegang jawatan MT tidak berbangkit: Ahmad Maslan

UMNO berharap dengan penjelasan ini, polemik dengan RoS selesai

KUALA LUMPUR, 28 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Isu tempoh pemegang jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi penggal 2018/2021 yang telah tamat pada 30 Jun 2021 seperti dinyatakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), adalah tidak berbangkit.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pentafsiran yang diberikan peguam cara UMNO terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan parti juga jelas menyatakan bahawa penangguhan pemilihan parti adalah kuasa mutlak MT dan parti hanya perlu memaklumkan kepada RoS.

Berdasarkan rentetan kronologi surat-menyurat di antara RoS dan UMNO, beliau berkata telah wujud satu kepentingan atau jangkaan yang sah oleh UMNO ke atas RoS untuk memperakukan penangguhan pemilihan parti.

“UMNO berharap agar dengan penjelasan ini, maka, polemik di antara UMNO dan RoS dapat diselesaikan.

“Tambahan lagi, dengan kes COVID-19 yang tinggi mencecah sekitar 20,000 kes sehari menambah lagi kesukaran untuk mesyuarat perwakilan dan pemilihan diadakan dengan penglibatan 3.3 juta ahli UMNO dan 66,287 jumlah mesyuarat perwakilan UMNO di seluruh negara,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan secara maya hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Jasri Kasim dilapor berkata keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan jawatan parti itu di semua peringkat iaitu cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) pada tahun ini adalah tidak sah.

Jasri berkata ini kerana keputusan menangguhkan pemilihan itu selama 18 bulan adalah berdasarkan minit Mesyuarat MT UMNO pada 7 Julai lepas, sedangkan tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata RoS juga telah memperakui penerimaan surat UMNO bertarikh 24 Jun 2021 melalui surat RoS bertarikh 19 Julai 2021 yang antara lain telah menyatakan bahawa RoS tidak mempunyai halangan terhadap penangguhan pemilihan parti UMNO dan keputusan ini adalah mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.

Sementara itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya menjelaskan bahawa UMNO membuat ketetapan menangguhkan mesyuarat agung kerana tidak mampu melakukannya secara maya.

“UMNO tidak pernah melakukannya apatah lagi UMNO memiliki lebih 3 juta ahli di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar yang berdepan kesukaran liputan internet,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button