Berita Utama

Kes demam denggi di semua negeri turun 20 hingga 94 peratus

Hanya 524 kes mingguan tahun ini berbanding 1,700 pada tahun 2020

BANGI, 28 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Semua negeri di Malaysia menunjukkan penurunan kes demam denggi berbanding tahun lalu dengan antara 20 peratus sehingga 94 peratus.

Bermula Januari sehingga 6 Ogos 2021, jumlah kumulatif kes demam denggi dilaporkan adalah sebanyak 16,565 berbanding 63,988 kes bagi tempoh sama tahun 2020, iaitu pengurangan sebanyak 47,423 kes (74.1 peratus).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, purata bilangan kes mingguan demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 524 kes seminggu berbanding 1,700 pada tahun 2020 dan 2,500 kes pada tahun 2019.

Manakala bilangan kematian demam denggi sehingga kini adalah sebanyak 10 kes berbanding 106 kes bagi tempoh sama tahun 2020, iaitu pengurangan sebanyak 96 kematian (90.6 peratus), katanya.

“Walaupun negara sedang bergelut dengan wabak pandemik COVID-19 ketika ini, semua pihak tidak boleh mengabaikan usaha pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit lain seperti demam denggi kerana kealpaan ini boleh menyebabkan kejayaan yang telah dicapai akan terhapus dalam sekelip mata.

“Ini akan merumitkan lagi keadaan kerana Malaysia akan berhadapan dengan ancaman kesihatan awam berganda dari penyakit denggi dan akan memberi tekanan tambahan kepada barisan hadapan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Apatah lagi, menurut Dr Adham, penyakit denggi belum ada vaksin yang benar berkesan untuk melindungi penduduk dari jangkitan berterusan.

“Usaha-usaha yang telah terbukti berkesan perlu diteruskan bagi mengekalkan kejayaan menurunkan beban penyakit denggi.

“Justeru, komitmen penuh dan kerjasama padu dari penduduk setempat, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat swasta dan badan-badan bukan kerajaan serta sukarelawan COMBI, amat diperlukan untuk bersama-sama menangani isu kebersihan terutama di kawasan perumahan dan tempat tumpuan awam,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut berterima kasih atas komitmen padu ditunjukkan oleh semua pihak dalam menangani penularan jangkitan demam denggi di negara ini.

“KKM berharap usaha pencegahan denggi dapat dilestarikan demi memastikan rakyat di negara ini sentiasa bebas dari ancaman demam denggi, seiring dengan aspirasi pembangunan negara yang mana aspek penjagaan kesihatan dan kualiti hidup adalah menjadi keutamaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button