Berita Utama

Pemilihan UMNO dijangka saji aksi cabar mencabar kem Zahid dan Ismail

Cubaan Zahid kukuh cengkaman dalam UMNO mungkin terganggu selepas kenyataan ROS

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 28 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Pertembungan dalam UMNO ketika ini berpotensi mencetuskan pertarungan lebih hebat antara ‘kem Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi’ dengan ‘kem Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob’

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, Ahmad Zahid sudah nekad akan mengambil tindakan lebih keras terhadap Ahli Parlimen UMNO yang berdegil enggan menuruti keputusan parti.

“Kemungkinan akan berlaku aksi pecat memecat selepas ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang tidak berpuas hati dengan keputusan Ismail Sabri menyokong Perikatan Nasional (PN), berkata bahawa Ahli Parlimen Bera itu akan berdepan akibat berikutan tindakannya menentang keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Ahmad Zahid turut mendakwa, Ismail Sabri pada awalnya bersetuju untuk akur kepada keputusan parti untuk menarik sokongan daripada PN, malah memberitahu ahli MKT yang beliau akan menuruti segala keputusan parti.

Bagaimanapun, dalam perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, Ismail Sabri berdiri di belakang Muhyiddin ketika beliau menyatakan masih mempunyai majoriti dan kekal memegang jawatan itu.

Selain itu, Dr Mazlan berkata, kenyataan terbaharu dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang memaklumkan keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah, juga akan memberi kesan kepada pergolakan parti itu.

“Ahmad Zahid cuba mengukuhkan cengkamannya terhadap UMNO, tetapi surat ROS sedikit sebanyak boleh mengganggu strateginya.

“Walaupun begitu, saya tidak menjangka Ahmad akan lepaskan jawatannya, tetapi akan terus menumpukan usaha jatuhkan Muhyiddin,” katanya.

Namun, jika Ahmad Zahid gagal menangani isu berkaitan ROS, kemungkinan pemilihan UMNO yang berlangsung nanti akan menyaksikan kem Ismail Sabri mencabar kem Ahmad Zahid, kata Dr Mazlan.

Semalam, Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim berkata, keputusan UMNO menangguhkan pemilihan Majlis Tertinggi (MT), Bahagian dan Cawangan selama 18 bulan adalah tidak sah.

ROS berpandangan, ketetapan itu adalah kerana tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button