Rahman Dahlan letak jawatan Ahli Lembaga Pengarah UMS
Patuh ketetapan UMNO selaras dengan keputusan MKT pada 3 Ogos

BANGI, 28 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini mengumumkan peletakan jawatan serta-merta sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang patuh dan setia dengan ketetapan parti, Abdul Rahman berkata, tindakan itu selaras keputusan MKT pada 3 Ogos lalu.
Bahkan, katanya, UMNO adalah sebuah parti perjuangan yang mendukung titah Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan seperti termaktub di dalam asas dan tujuan UMNO mengikut Fasal 3.
“Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad kerana telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah.
“Akhir kata, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan Universiti Malaysia Sabah kerana telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan saya di universiti tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.