Berita Utama

Sultan Johor titah sektor swasta bantu tangani COVID-19

Sumbangan wang tunai penting pastikan sistem kesihatan dilengkapi pelbagai peralatan perubatan

JOHOR BAHRU, 28 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah menyarankan agar sektor swasta turut bersama-sama menyumbang bantuan dalam usaha menangani pandemik COVID-19 di negeri ini.

Baginda bertitah sumbangan wang tunai daripada sektor swasta penting untuk memastikan sistem kesihatan hospital-hospital di Johor terus dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan untuk terus merawat pesakit COVID-19.

“Kita perlu menangani COVID-19 secara bersama dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan, saya berharap sektor swasta turut tampil dalam menghulurkan bantuan kewangan supaya peralatan-peralatan perubatan dapat disampaikan kepada hospital.

“Sumbangan boleh disampaikan kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor untuk pembelian barangan perubatan, manakala sumbangan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor akan digunakan untuk bantuan makanan kepada golongan memerlukan,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, di sini.

Sultan Ibrahim turut menerima permohonan bantuan senarai peralatan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menangani pandemik berkenaan termasuk katil, oxygen regulator (bull nose), oxygen regulator (pin index), oxygen flow meter, 10L cylinder medical oxygen gas/regulator/trolly, set tekanan darah tinggi dan sebagainya.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi RM5 juta bagi membeli peralatan untuk keperluan hospital-hospital di negeri ini.

Sektor swasta yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor di talian 07-2355252 atau Yayasan Sultan Ibrahim Johor di talian 07-3564848.

Sultan Johor pada masa sama bertitah mana-mana rakyat di negeri ini yang memerlukan bantuan makanan boleh menghubungi Pejabat-Pejabat Daerah atau Pejabat Penghulu di kawasan masing-masing. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button