Berita Utama

Usaha bina naratif negara Islam pernah dapat tentangan

Kini Islam sebagai agama negara sudah diterima walau masih ada mempersoalkannya

BANGI, 28 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Usaha membina naratif Malaysia adalah negara Islam dari segi Perlembagaan pernah mendapat tentangan pelbagai pihak.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pendirian yang dibuat sekumpulan peguam muslim 25 tahun lalu, pernah dipersoalkan kerana undang-undang Islam masih belum dilaksanakan.

Katanya, sukar ketika itu untuk memberi kefahaman bahawa pendirian berkenaan lebih bermanfaat diambil untuk memudahkan pelaksanaan perundangan Islam.

“Akhirnya ramai yang faham naratif tersebut dan kini ada pula yang sudah mengkaji dengan mendalam dan mengajar saya balik supaya mengambil pendirian ini.

“Islam sebagai agama negara (bukan sekadar agama rasmi) sudah mula diterima oleh masyarakat walaupun ada sebilangan kecil yang masih mempersoalkannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainul Rijal berkata, beberapa tahun lepas juga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membina naratif baharu berkaitan Reset Malaysia supaya negara lebih aman dan dibersihkan daripada politik yang tidak bermanfaat.

“Sukar juga pada awalnya tetapi kini nampak ada perkembangan positif penerimaan Reset Malaysia walaupun ada yang memberi pelbagai nama lain.

“Yang pentingnya ialah kita berusaha ke arah kesejahteraan negara, tidak berpolitik 24 jam dan memberi perhatian kepada kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, rakyat juga sudah semakin jelak dengan karenah politikus dan negara memerlukan alternatif yang berdaya membawa Malaysia ke arah kemajuan.

“Adakah kita masih memerlukan politikus yang hanya mementingkan kedudukan mereka sahaja ataupun kita mempunyai alternatif lain berdasarkan Perlembagan Persekutuan dan undang-undang?

“Mudah-mudahan kita boleh membahaskan naratif ini dengan lebih mendalam lagi supaya kita mencapai titik pertemuan bagaimana untuk mensejahterakan negara.

“Naratif ini masih baru dan ia memerlukan kritikan dan pandangan semua pihak sama ada dari sudut falsafahnya, pelaksanaan ataupun tempoh,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button