Dunia

95 peratus kes di Tebing Barat dari varian Delta

136 kes baharu dalam tempoh 24 jam terakhir

RAMALLAH, 29 Zulhijjah 1442H, Ahad – Sebanyak 95 peratus kes jangkitan COVID-19 yang direkodkan di Tebing Barat baru-baru ini berpunca daripada varian berbahaya Delta, menurut pegawai kanan Palestin.

Menteri Kesihatan, Mai al-Kaila berkata, varian Delta dipercayai mula merebak di semua bandar di Tebing Barat, di mana 95 peratus kes direkodkan adalah berpunca daripada strain baharu itu. 

Beliau berkata, keadaan itu bagaimanapun tidak memerlukan Tebing Barat untuk menguatkuasakan perintah berkurung, namun kementerian kesihatan masih memerlukan bantuan untuk mengawal penularan. 

Al-Kaila berkata, menjaga bandar, memastikan sektor ekonomi dibuka dan melanjutkan operasi pendidikan di sekolah memerlukan tanggungjawab masyarakat melalui kesedaran bersama dalam mencegah wabak merebak secara meluas.

“Kes-kes yang direkodkan di Palestin menyaksikan sedikit peningkatan, dan lekuk jangkitan juga meningkat berbanding sebelumnya,” kata Al-Kaila yang mengesahkan ia petanda wilayah itu kini berada di gelombang keempat COVID-19. 

Justeru, beliau meminta setiap rakyat Palestin yang berusia 18 tahun dan ke atas untuk segera mendapatkan vaksinasi di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, selain mematuhi etika pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Semalam, kementerian kesihatan melaporkan 136 kes baharu COVID-19 dengan 33 pesakit pulih dalam tempoh 24 jam terakhir. 

Kementerian turut memaklumkan sebanyak 608,155 penduduk di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza telah mendapatkan suntikan vaksin setakat ini, termasuk 423,340 individu lengkap dos kedua mereka.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button