Arab Saudi terima jemaah umrah luar negara mulai 9 Ogos
Wajib sertakan sijil vaksinasi bersama permohonan ibadah umrah

RIYADH, 29 Zulhijjah 1442H, Ahad – Arab Saudi secara beransur-ansur menerima jemaah umrah dari luar negara mulai 9 Ogos ini dengan syarat mereka sudah divaksin.
Keputusan ini diputuskan selepas kira-kira lebih setahun melarang kemasukan ekoran wabak COVID-19, lapor agensi berita SPA.
Bagaimanapun, langkah mengekalkan pencegahan wabak di Makkah dan Madinah masih diteruskan meskipun kapasiti jemaah meningkat kepada dua juta orang berbanding 60,000 setiap bulan sebelum ini.
Jurucakap Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata, jemaah dari dalam dan luar negara perlu menyertakan sijil vaksinasi COVID-19 yang dibenarkan bersama permohonan ibadah umrah mereka.
Katanya, jemaah dari negara-negara yang termasuk dalam daftar larangan masuk Arab Saudi harus dikuarantin secara institusi ketika ketibaan.
Ibadah umrah dibuka semula kepada jemaah domestik pada Oktober lalu.
Malah, Arab Saudi turut hanya menerima jemaah haji dalam negara selama dua tahun berturut-turut bagi mengelakkan penularan. – Agensi