Berita Utama

Najib ada masalah kesihatan, perbicaraan kes dana 1MDB disingkatkan

'Ubat tekanan darah tertuduh telah ditukar dan beri kesan buruk kepadanya'

KUALA LUMPUR,15 Safar 1444H, Isnin  Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi hari ini  disingkatkan kerana bekas perdana menteri itu memerlukan rawatan perubatan setelah ubat darah tingginya memberinya kesan buruk.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa beliau telah dimaklumkan oleh pegawai Jabatan Penjara Kajang mengenai keadaan Najib yang ‘agak teruk’.

“Ubat tekanan darah tertuduh telah ditukar dan ia memberi kesan buruk kepadanya.

“Saya dimaklumkan keadaannya (Najib) agak teruk, tetapi beliau bersedia untuk berada di sini (perbicaraan) sehingga 12.30 tengah hari. Pada 2 petang beliau perlu dibawa ke hospital untuk berjumpa doktor,” katanya.

Hakim bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan pada pukul 12.30 tengah hari bagi membolehkan Najib mendapatkan rawatan perubatan.

Bekas perdana menteri itu yang bersut biru duduk di kandang tertuduh, manakala isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuannya Nooryana Najwa dilihat duduk di galeri awam.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan diteruskan dengan Pengurus Ambank (M) Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi yang merupakan saksi pendakwaan ke-37 membaca kenyataan saksinya.

Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button