Berita Utama

Kemudahan bagi sektor ekonomi akan diumum dalam waktu terdekat: PM

Kerajaan setuju beri kemudahan sektor sosial kepada individu terima vaksinasi lengkap

KUALA LUMPUR, 29 Zulhijjah 1442H, Ahad – Kemudahan bagi sektor ekonomi untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap akan diumumkan dalam tempoh terdekat, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perkara itu sedang dibincangkan dan dipertimbangkan di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kemudahan-kemudahan sektor ekonomi sedang dibincang dan dipertimbangkan di peringkat Sidang Khas MKN dan akan saya umumkan dalam waktu terdekat,” katanya dalam pengumuman khas kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap, yang disiarkan menerusi saluran televisyen pada Ahad.

Dalam pengumuman itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju memberikan kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa Dua dan seterusnya.

Antara kemudahan itu ialah aktiviti makan di premis makanan dibenarkan dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama turut dibenarkan melibatkan ‘homestay’ dan hotel, dengan pengusaha premis perlu memastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan kemudahan kuarantin dan perjalanan untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan ia terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa pada Selasa, 10 Ogos.

Menerusi kemudahan itu, pasangan suami isteri jarak jauh yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dibenarkan merentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

Beliau berkata selain itu, ibu bapa yang telah melengkapkan vaksinasi mereka juga dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button