Berita Utama

Hentikan semua aktiviti luar bilik darjah

Tiada kokurikulum, sukan tahunan buat sementara waktu

ALOR SETAR, 12 Syawal 1444H, Rabu – Pihak sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah termasuk kokurikulum serta penganjuran sukan tahunan buat sementara waktu berikutan cuaca panas pada masa ini demi keselamatan warga sekolah termasuk pelajar dan murid.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, meskipun tiada sekolah di negara ini ditutup ekoran cuaca panas setakat ini, namun pihak sekolah mesti mengambil langkah berhati-hati dalam keadaan cuaca sedemikian untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Saya menyeru anak-anak sekolah dan warga sekolah berhati-hati tentang cuaca yang panas (sekarang ini) dan (banyak) minum air, (dan) kita tidak akan adakan aktiviti di luar bilik darjah (termasuk kokurikulum),” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu, Hui Ying juga melawat tiga lagi sekolah di sini dalam lawatan kerjanya hari ini iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Min; SJKC Keat Hwa S dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Barathy.

Hui Ying berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di seluruh negara akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa berhubung keadaan cuaca panas itu dalam usaha langkah berjaga-jaga selain usaha melaksanakan pendekatan berkesan bagi menangani isu itu.

“Garis panduan kita (yang telah ditetapkan) bagi suhu meningkat sehingga 37 darjah Celsius, JPN pantau dan akan tutup sekolah. (Pihak sekolah) mohon dengan JPN, JPN akan buat keputusan (berhubung penutupan sekolah),” katanya.

Selain itu, beliau berkata, JPN akan turut memantau di sekolah untuk melihat sejauh mana kebenaran khas untuk warga sekolah memakai pakaian atau baju sukan sopan ketika cuaca panas diguna pakai untuk mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah KPM diberi kebenaran khas untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan semasa cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan. 

KPM dalam laporan itu juga memaklumkan pemakaian tali leher tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah.

Dalam pada itu, Hui Ying mengumumkan peruntukan daripada KPM untuk keempat-empat sekolah itu bagi kerja penyelenggaraan sekolah iaitu SJKC Peng Min dan SJKT Barathy masing-masing diberikan peruntukan sejumlah RM200,000 manakala SJKC Keat Hwa S serta SK Taman Rakyat masing-masing mendapat peruntukan RM150,000. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button