Berita Utama

BKM, Nazim Kajang anjur Kem Akil Baligh Puteri

Pendedahan awal beri kesedaran kepada remaja perempuan jaga kehormatan diri

BANGI, 30 Zulhijjah 1442H, Isnin – Susulan masih ramai remaja yang kurang arif mengenai pengurusan dan penjagaan diri selepas akil baligh, Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) dan Kelab Anak Hebat (NAZIM) Kajang telah menganjurkan program atau kem khas untuk remaja perempuan.

Kem Akil Baligh Puteri ini telah diadakan selama dua hari pada 31 Julai dan 7 Ogos lalu secara dalam talian dengan penyertaan lebih 160 peserta.

Pengarah program, Habibah Anuar berkata, kanak-kanak atau remaja perempuan yang sedang memasuki alam remaja perlu diberi kesedaran mengenai perubahan fizikal dan emosi yang menjurus kepada tarikan kepada jantina lain.

Untuk itu, sangat penting untuk ibu bapa memainkan peranan memberitahu mengenai akil baligh dan apa yang perlu mereka lakukan selepas mendepani fasa ini.

Tidak dinafikan, masih ada remaja yang tidak arif berkenaan pengurusan diri, antara puncanya pengabaian dari keluarga dan kerana kurang didikan awal berkaitan hukum agama.

Jadi, beliau tidak menolak kemungkinan kesannya boleh membawa kepada masalah sosial yang semakin berleluasa.

Justeru, seminar ini memberikan pendedahan awal mengenai situasi akil baligh dan kesedaran kepada remaja perempuan untuk menjaga kehormatan diri. Kita juga menjelaskan fiqh berkaitan darah wanita dan mandi wajib.

“Selain itu turut diperjelas mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat yang biasa diterima ketika zaman kanak-kanak serta cara mengelaknya.

“Pada masa sama, ahli panel turut menghuraikan isu-isu pornografi dan cara mengatasinya serta mengenai fisiologi sistem pembiakan wanita, termasuk pendidikan seksualiti.

“Pendedahan ini sangat penting untuk mereka, zaman sekarang tidak sama dengan zaman dulu, apabila pendedahan media sosial semakin mengambil alih peranan ibu bapa,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button