Berita Utama

Kerajaan pertimbang kelonggaran aktiviti risiko rendah bagi negeri Fasa 1

Belum dapat diumumkan kerana perlu pandangan pakar kesihatan

KUALA LUMPUR, 30 Zulhijjah 1442H, Isnin – Kerajaan sedang mempertimbang untuk memberi kelonggaran bagi aktiviti berisiko rendah kepada penduduk di negeri yang berada di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu bagi memastikan keperluan kesihatan mental rakyat terjaga.

“Meskipun kita masih berada dalam Fasa Satu, berkaitan isu kesihatan mental kita boleh mempertimbang beberapa aktiviti yang selamat seperti pergi ke taman dan pasar-pasar malam yang terbuka, kesemua ini kita sedang pertimbang (untuk beri) kelonggaran,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu belum dapat diumumkan buat masa ini kerana memerlukan pandangan pakar kesihatan.

Sidang media itu adalah yang pertama diadakan sejak pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Kanan Kluster Keselamatan yang bertanggungjawab mengumumkan perkembangan PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Mengulas kelonggaran rentas negeri buat ibu bapa yang telah melengkapkan vaksinasi untuk berjumpa anak-anak berumur 18 tahun ke bawah, Hishammuddin berkata, keputusan itu dibuat bersandarkan kedudukan dan kesejahteraan mental serta aspek kekeluargaan yang perlu diambil kira setelah masing-masing sekian lama berdepan sekatan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, kelonggaran bagi golongan bujang untuk berjumpa ibu bapa mereka tidak dapat dilaksana memandangkan jumlah golongan itu adalah ramai, justeru risikonya juga tinggi.

“Untuk peringkat awal ini, kita hanya membenarkan ibu bapa yang bimbang dan yang ada anak umur 18 tahun ke bawah yang tinggal berasingan. Biar kita temukan mereka. Ini bagi saya keputusan yang bukan bersandarkan ekonomi atau kesihatan pun, ini berkisarkan kedudukan mental.

“Kalau ini dapat dijayakan dan jumlah yang kita tengok daripada keputusan ini tidak membuatkan jumlah (kes) COVID-19 meningkat, jadi tiada sebab untuk masa-masa akan datang bagi kita perluaskannya kepada mereka yang bujang yang tertanya-tanya sekarang,” katanya.

Hishammuddin juga berharap orang ramai segera memaklumkan kepada penguatkuasa jika terdapat kes memalsukan sijil vaksin untuk merentas negeri, selain kerjasama pelbagai pihak seperti kepimpinan di peringkat negeri, kementerian dan agensi yang bertanggungjawab untuk menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri yang berada dalam Fasa Dua PPN dan seterusnya, berkuat kuasa esok.

Antara kemudahan yang dibenarkan ialah rentas daerah, aktiviti ‘dine-in’ atau makan di premis, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa dan hotel. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button