Berita Utama

Kerajaan tak ambil iktibar, negara boleh terdedah varian Delta Plus, Lambda

Benarkan pengembara luar negara kuarantin di rumah masih risiko tinggi

BANGI, 30 Zulhijjah 1442H, Isnin – Rakyat menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula kebenaran pengembara dari luar negara yang sudah lengkap dua dos vaksin menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Rata-rata mereka bimbang kelonggaran itu akan mendedahkan negara terhadap risiko varian baharu seperti Delta Plus dan Lambda, yang didakwa kebal daripada vaksin COVID-19.

“Virus Lambda dan Delta Plus yang lebih ganas akan membunuh lebih ramai rakyat Malaysia jika kita longgarkan kemasukan dari luar negara tanpa tempat kuarantin,” kata pemilik akaun NC Chong.

“Saya tak yakin kelonggaran menjamin keselamatan dan risikonya mesti ada di kalangan kita yang berisiko mendapat jangkitan walaupun individu itu telah lengkap dua dos,” tulis pemilik akaun Whitehouse Flowers.

Pemilik akaun War Joe mengingatkan kerajaan bahawa individu yang lengkap suntikan vaksin masih boleh menjadi pembawa jangkitan kepada individu lain, terutama mereka yang belum menerima imunisasi.

“Dengan kemasukan pengembara dari luar negara terutama negara yang mencanak naik akibat varian Delta dan Delta Plus, negeri fasa 1 akan kekal begitu dan negeri-negeri fasa 2 akan kembali ke fasa 1,” kata Ren Zafarina StewaRT.

“Pembukaan yang mengundang permasalahan berulang seperti kluster Sivaganga di bahagian utara. Kerajaan sepatutnya ambil iktibar dan belajar daripada kegilaan ini,” tulis Muhd Firdaus.

Sebahagian netizen juga berpendapat bahawa kelonggaran diberikan kerajaan adalah terlalu awal, sedangkan negara belum mencapai 80 hingga 100 peratus kadar dua dos vaksinasi.

“Kelonggaran untuk merentas dalam atau luar negara adalah satu tindakan yang tidak patut dan juga merupakan risiko yang amat bahaya,” kata Ramachandran Nagiah.

“Sepatutnya kerajaan perlu buat ‘total lockdown’ dari sekarang, bukannya beri sedikit kebebasan. Perlu tegas dan belajar daripada kesilapan,” tulis Al Fatih.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran untuk pengembara warganegara atau bukan warganegara yang pulang atau tiba dari luar negara dan lengkap menerima suntikan dua dos vaksin.

Beliau berkata, golongan itu dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah yang berkuat kuasa mulai esok.

Bagaimanapun, kelonggaran berkenaan dikritik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan tindakan kerajaan sebagai satu ‘kegilaan tahap maksimum’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button