Protes ditahan tanpa bicara, 13 tahanan Palestin masih mogok lapar
540 penduduk Palestin kini dalam tahanan pentadbiran

RAMALLAH, 30 Zulhijjah 1442H, Isnin – Seramai 13 tahanan Palestin di penjara negara haram Israel masih melancarkan mogok lapar sebagai protes terhadap penahanan pentadbiran yang dikenakan ke atas mereka.
Salah seorang daripada tahanan iaitu Salem Ziadat, 40, telah melalui mogok lapar selama 28 hari – antara tempoh terpanjang – ekoran menentang penahanan ke atasnya tanpa sebarang tuduhan atau perbicaraan.
Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan berkata, setakat semalam, dua tahanan – Mohammad Khaled Abusil dan Ahmad Abdulrahman Abusil – telah mencapai persetujuan dengan Perkhidmatan Penjara Israel berhubung tempoh had penahanan pentadbiran mereka.
Dasar penahanan pentadbiran Israel membenarkan tahanan Palestin dipenjara tanpa tuduhan atau perbicaraan untuk jangka masa yang boleh diperbaharui, iaitu tiga hingga enam bulan berdasarkan bukti tidak didedahkan.
Sehingga kini, Israel menahan sekitar 540 orang Palestin dalam tahanan pentadbiran, yang dianggap tidak sah oleh undang-undang antarabangsa.
Selama bertahun-tahun, Israel memenjarakan ribuan rakyat Palestin dalam tahanan pentadbiran untuk jangka masa lama, tanpa menyatakan pertuduhan atau membenarkan peguam memeriksa bukti.
Atas sebab itu, tahanan Palestin berterusan menggunakan mogok lapar sebagai langkah protes kepada penahanan pentadbiran yang tidak adil dan menuntut dasar itu dihentikan.- Agensi