Berita Utama

Sultan Selangor titah umat Islam buang sifat negatif di media sosial

Baginda nasihati contohi sifat terpuji junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ

SHAH ALAM, 30 Zulhijjah 1442H, Isnin – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar umat Islam membuang sifat negatif dalam diri, termasuklah hasad dengki dan fitnah-memfitnah khususnya di media sosial yang boleh meruntuhkan perpaduan sesama ummah dan memberi kesan yang buruk khususnya kepada generasi akan datang.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, baginda mengambil kesempatan menasihati umat Islam agar mencontohi sifat-sifat terpuji junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ dengan membuang segala sifat-sifat negatif yang ada pada diri.

“Jauhilah perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran serta sifat-sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat-sifat orang munafik,” titah baginda menerusi hantaran tersebut.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1443 Hijrah.

Baginda menyeru umat Islam khususnya di Selangor untuk memperbaharui azam serta tekad dengan mengubah cara berfikir serta melakukan sesuatu tindakan, ke arah mencapai matlamat kecemerlangan dalam kehidupan.

“Beta berharap sambutan Maal Hijrah kali ini dihayati dan dirai dengan penuh kesedaran serta kefahaman akan pentingnya penghayatan nilai-nilai murni di dalam Islam diterjemah kepada setiap aspek kehidupan.

“Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah semoga seluruh umat Islam di negara kita sentiasa dilimpahi rahmat, dijauhkan daripada wabak penyakit dan kekal hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera,” titah baginda. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button