Berita Utama

Wanita hamil boleh dapat vaksin di KKIA tanpa temu janji MySejahtera

KKM pertimbang cadangan vaksinasi ‘walk-in’, mungkin selepas selesai warga emas

BANGI, 30 Zulhijjah 1442H, Isnin – Kementerian Kesihatan sedia pertimbang cadangan untuk golongan wanita hamil dibenarkan mendapat suntikan vaksin COVID-19 secara tanpa temu janji (walk-in).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, cadangan itu bagaimanapun mungkin hanya akan dilaksanakan selepas urusan vaksinasi warga emas dan golongan komorbid selesai.

Ini kerana, wanita hamil setakat ini tidak dimasukkan sebagai golongan yang layak menerima pelalian secara tanpa temu janji di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Bagaimanapun, beliau berkata, wanita hamil boleh mendapatkan vaksin di klinik kesihatan ibu dan anak (KKIA) tanpa perlu menunggu temu janji menerusi aplikasi MySejahtera.

“Panggilan vaksin bagi ibu mengandung adalah di bawah urusan klinik kesihatan ibu dan anak.

“Mereka tidak perlu melalui temu janji di aplikasi MySejahtera dan kaedah ini sebenarnya lebih cepat berbanding ‘walk-in’,” katanya seperti dilaporkan akhbar tempatan.

Dr Noor Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan yang timbul dalam kalangan wanita hamil susulan kematian penyanyi, Siti Sarah Raisuddin, 36, hari ini akibat COVID-19 ketika sarat mengandungkan anak keempat.

Jun lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan lebih banyak janji temu untuk suntikan vaksin akan diberikan kepada ibu mengandung mengikut keutamaan berdasarkan jangkaan tarikh bersalin (EDD).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button