Berita Utama

Hijrah: Jangan berhenti lakukan perubahan diri, sikap

Sejarah kejayaan sesuatu bangsa bermula dengan perubahan

BANGI, 1 Muharram 1443H, Selasa – Peristiwa hijrah bukan sekadar kisah sejarah untuk diingati tetapi merupakan satu semangat untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik, kata Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan.

Beliau berkata, perubahan luar dan dalam yang berpaksikan iman dan ilmu mampu mengubah peta peradaban bangsa. 

Tegasnya, bangsa yang berdiri dengan asas iman dan ilmu akan membuka lembaran baharu sekali gus melakar sejarah kegemilangan. 

“Kuncinya adalah satu, iaitu melakukan transformasi ilmu dan iman melalui wadah pendidikan.

“Di kala negara berdepan krisis pendemik yang juga mengesani anak-anak di sekolah, perlu pemikiran strategik dan inovatif untuk berani melakukan agenda perubahan ke arah menyelamatkan generasi dari keciciran pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Azizee berkata, hijrah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah ﷺ adalah untuk menyelamatkan generasi daripada kesempitan dunia jahiliyah kepada ke-izzahan umat berpaksikan manhaj rabbani supaya terhasil kualiti yang akan membawa kemajuan bangsa dan negara. 

Transformasi ilmu dan adab ini yang menjadi asas kemakmuran bangsa serta nusa sehingga menguasai dunia selepasnya, kata beliau.

“Jangan berhenti melakukan perubahan diri, sikap, kerana di sinilah bermula sejarah kejayaan sesuatu bangsa. Ilmu tunjangnya, iman akarnya dan adab buahnya. 

“Selamat Menyambut Maal Hijrah 1443H,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button