Berita Utama

KPDNHEP patahkan cubaan seludup 17,000 kg minyak masak

Pemandu, kelindan lori ditahan bagi bantu siasatan

KOTA BHARU, 1 Muharam 1443H, Selasa – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup keluar 17,000 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi ke negara jiran, selepas menahan sebuah lori di sebuah stor di Kampung Belukar, Pasir Mas, dekat sini, semalam.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil berkata, rampasan dilakukan pihaknya bersama Pasukan Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubor dan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am menerusi serbuan yang dilakukan pada 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan hasil daripada maklumat risikan daripada Seksyen Perisikan KPDNHEP Putrajaya ke atas sebuah premis pemborong dan pembungkus minyak masak di Melaka.

“Pasukan telah mengenal pasti sebuah lori yang mencurigakan dan disyaki digunakan oleh sindiket untuk mengangkut minyak masak bagi tujuan menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi. Hasil maklumat mendapati lori berkenaan digunakan untuk mengangkut minyak masak ke Kelantan.

“Pemeriksaan oleh pasukan serbuan telah menemukan 17,000 kg minyak masak paket bersubsidi satu kilogram berada di dalam lori dan sejumlahnya telah dipindahkan ke dalam stor tersebut.

“Hasil siasatan awal, stor tersebut disyaki digunakan sebagai tempat penyimpanan dan transit sebelum pihak sindiket menjalankan aktiviti penyeludupan ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Shamsul Nizam berkata, modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi daripada syarikat pembekal di Melaka dan sekitar Lembah Klang dengan menggunakan lesen daripada syarikat lain.

“Berdasarkan dokumen yang dijumpai, minyak masak ini sepatutnya dihantar ke sebuah pemborong di Melaka namun didapati ia telah diseleweng dan dibawa masuk ke Kelantan dan dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran,” katanya.

Beliau berkata selain rampasan minyak, anggotanya turut menahan dua lelaki yang dikenal pasti pemandu dan kelindan lori tersebut bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut akan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik premis dan suspek utama yang terlibat dalam kes ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button