Berita Utama

Muhyiddin didakwa tawar jawatan TPM pada Tok Mat

Tawaran ditolak kerana hormat keputusan MKT: Ahmad Maslan

BANGI, 1 Muharam 1443H, Selasa – Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa pernah menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada Datuk Seri Mohamad Hasan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Timbalan Presiden UMNO itu menolak tawaran berkenaan kerana menghormati keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Betul, saya menyatakan ia memang betul (Mohamad) tolak (jawatan TPM) kerana menghormati keputusan dibuat parti,” katanya seperti dilapor FMT.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila Muhyiddin menawarkan jawatan itu kepada Mohamad.

Namun katanya, pada Oktober tahun lalu, UMNO pernah mencadangkan supaya Muhyiddin memberikan jawatan TPM kepada parti itu, selain mengusulkan beberapa perkara bagi menangani krisis negara.

Ahmad Maslan mendakwa, Muhyiddin tidak melayan permintaan bersabit jawatan TPM itu sehingga bulan lalu.

Bagaimanapun beberapa jam sebelum UMNO menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya pada 7 Julai lalu, Perdana Menteri tiba-tiba memberikan jawatan itu kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

“Sehingga beberapa jam sebelum kita tarik sokongan, baharu diberi. Ini kawan (jenis) apa?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button