Berita Utama

Pegawai khas timbalan menteri meninggal dunia akibat COVID-19

Allahyarham hadir sepanjang mesyuarat khas Parlimen Julai lalu

KUALA LUMPUR, 1 Muharram 1443H, Selasa – Seorang pegawai khas yang pernah mengiringi Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Guan Dee Kohoi semasa mesyuarat khas Parlimen Julai lalu, disahkan meninggal dunia, semalam.

Datuk Jaimin Samitah dilaporkan meninggal dunia, pada jam 4.30 petang, akibat COVID-19. 

Difahamkan, Allahyarham telah hadir ke Kompleks Parlimen Malaysia sepanjang Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas Tahun 2021 dari 26 hingga 29 Julai 2021 yang lalu. 

Semua ujian swab yang dibuat beliau iaitu saringan awal yang dibuat untuk hadir ke Parlimen dan saringan pada Khamis 29 Julai 2021 di Parlimen menunjukkan negatif. 

“Selepas Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ditangguhkan, saya pulang ke Sabah dan pada Isnin lalu, Jaimin yang masih berada di Kuala Lumpur memberitahu yang dia berasa tidak sihat dan saya minta dia buat ujian saringan COVID-19 sekali lagi,” kata Guan Dee seperti dilapor BH, hari ini.

Guan Dee berkata, Jaimin disahkan positif sebelum dikuarantin dan dirawat di sebuah hospital sejak Isnin minggu lalu sehinggalah menghembuskan nafas terakhir, semalam dan dikebumikan, hari ini.

Jumaat lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan lebih banyak kes COVID-19 dilaporkan berkaitan dengan Parlimen, menjadikan jumlah jangkitan yang berkaitan dengan mesyuarat khas baru-baru ini sebanyak 85.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekurang-kurangnya enam kes dipercayai merupakan varian Delta berdasarkan ujian PCR.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button