Berita Utama

Calon Pejuang berdepan saingan 7 penjuru di Kapar

Calon Bebas gagal serah borang kerana tak cukup wang deposit

Oleh Zuhayati Yazid

KLANG, 10 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Kerusi Parlimen Kapar P109 menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan seorang calon Bebas.

Pertembungan ini membabitkan Ustaz Mohd Pathan Hussin bagi calon Pejuang, Muhammad Noor Azman @ Noor Hizan (BN), Dr Halimah Ali (PN), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH), Warisan Datuk Seri Rahim Awang, Datuk Seri Selvalinggam (Bebas) dan Dr Daroyah Alwi (PBM).

Calon PH, Abdullah Sani menjadi calon pertama mengemukakan borang ketika tempoh penamaan calon dibuka jam 9 pagi di Pusat Penamaan Calon di Pejabat Tanah dan Daerah Klang.

Manakala Ustaz Mohd Pathan menyerahkan borang penamaan kira-kira jam 9.10 pagi dikuti calon-calon lain.

Bagaimanapun, seorang lagi calon Bebas yang enggan memberikan nama gagal menyerahkan borang pencalonan berikutan tidak mempunyai wang pendahuluan yang mencukupi sekali gus menyebabkan permohonan ditolak.

Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kapar, Shahman Jalaluddin membuat pengumuman kira-kira jam 11 pagi di pusat penamaan calon ditutup jam 10.30 pagi.

Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Kapar disandang oleh Abdullah Sani daripada PH dengan majoriti 16, 306.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November dan undi awal pada 15 November ini.

Terdahulu, ratusan penyokong Pejuang memenuhi laman Zurich Klang seawal 6.50 pagi sebagai memberi sokongan kepada calon bertanding.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button