Berita Utama

Sekarang masa bantu rakyat, bukan rebut kedudukan: Sultan Johor

Baginda kecewa pemimpin ganggu kerajaan, rebut kuasa tatkala rakyat susah

JOHOR BAHRU, 1 Muharram 1443H, Selasa – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan rasa kecewa kerana ada pemimpin yang mengganggu kerajaan dan berebut kuasa tatkala rakyat dalam keadaan susah. 

Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook bertitah agar pemimpin menginsafi hakikat sebenar kuasa pemerintahan sempena tahun baharu hijrah hari ini.

“Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang mengganggu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.

“Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah hari ini, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah SWT.

“… dan Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki,” titahnya.

Berikutan itu, baginda bertitah, semua pemimpin perlu jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah.

“…bukannya kepentingan diri sendiri sehingga mengugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air. 

“Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” titah baginda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button