Usah ketepikan peranan golongan profesional tadbir negara
Menteri perlu tubuh panel nasihat pertingkat pretasi kementerian

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 1 Muharam 1443H, Selasa – Walaupun jawatan ahli Jemaah Menteri kebiasaan dilantik dalam kalangan ahli politik, peranan golongan profesional tidak seharusnya diketepikan.
Ini bagi memastikan setiap menteri melaksanakan portfolio mereka dengan berkesan, kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
Beliau berkata, ia boleh dilakukan dengan selalu berkomunikasi dengan kepimpinan kementerian berkenaan daripada kalangan perkhidmatan awam untuk mendapat nasihat terbaik.
“Selain ini, para menteri juga perlu membentuk beberapa panel penasihat untuk mempertingkat prestasi kementerian mereka, setelah dinasihati daripada pelbagai sisi.
“Sudah tentu bidang pengkhususan akademik atau profesional mereka akan banyak membantu dalam sesuatu portfolio itu.
“Namun, ramai menteri yang tiada kelayakan berkaitan portfolio yang diberikan, masih berjaya menjalankan tugas dengan berkesan. Ini kerana ada apabila ada kemahuan, maka pasti ada jalannya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Dalam pada itu, Prof Kok Seong berpendapat, pelantikan menteri perlu dikekalkan daripada kalangan ahli politik sahaja supaya reputasi golongan profesional yang dianggap neutral dari segi idelologi politik tidak terjejas.
Ini kerana pihak itu dibimbangi perlu akur kepada cara pemerintah mengendalikan dasar dan menyebarkan pengaruh oleh parti atau gabungan politik yang menjadi kerajaan, tindakan bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Dengan ini, golongan profesional ikut terpalit dengan urus tadbir negara yang tidak dapat lari daripada kemahuan politik kerajaan yang memerintah, untuk tujuan kelangsungannya yang terus.
“Oleh itu, reputasi profesional mereka yang baik sebelum menjadi menteri, akhirnya menjadi ‘buruk’ kerana terpaksa terkait dengan hala tuju politik parti atau gabungan politik yang menjadi kerajaan.
“Ini tidak dapat dielakkan kerana mereka adalah ‘lantikan politik’ oleh ketua kerajaan yang memerintah, justeru ada keperluan mengikuti, malah mematuhi kemahuan parti atau gabungan politik yang menerajui negara,” katanya.